1.0 PENGENALAN
Berdasarkan
perbincangan tugasan ini, pengamalan kesihatan dan kesejahteraan pada seorang individu,
keluarga dan komuniti dapat memberikan kebahagiaan, kesihatan dan kemakmuran
dalam kehidupan harian mereka. Sebaliknya,
kehidupan yang gembira sukar dikecapi, begitu juga seseorang individu mungkin
tidak dapat menikmati kemakmuran jika tidak gembira atau kurang sihat.
Secara formal
definisi bagi kesihatan oleh
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO – World Health Organization) adalah keadaan
kesihatan fizikal, kesihatan mental dan kesejahteraan sosial adalah lengkap,
dan bukan hanya tanpa penyakit dan lemah.
Dalam pengertian
kesejahteraan pula, Edlin dan Golanty (2010) merumuskan konsep kesejahteraan sebagai pendekatan yang
proaktif dan pencegahan yang direka bentuk untuk mencapai kesihatan fizikal
serta fungsi sosial dan emosi yang optimum.
Ia boleh dilihat sebagai komitmen dalam batasan dan potensi peribadi ke
arah kesihatan yang optimum, tanpa semata-mata memberi tumpuan pada ketiadaan
penyakit sahaja.
Konsep kesihatan
dan kesejahteraan merupakan komponen penting dalam kesejahteraan. Dimana untuk mencapai dan mengekalkan
kesihatan dan kesejahteraan, ciri-ciri gaya hidup yang sihat serta
tanggungjawab peribadi perlulah dititikberatkan.
Kita dapat lihat,
beberapa ciri gaya hidup yang sihat dan sebagai garis panduan bagi seseorang
individu iaitu makan diet yang seimbang dan berkhasiat, kekal berat badan
ideal, seringkali bersenam, mampu menangani tekanan, mampu menangani emosi yang
berlebihan, rehat dan tidur mencukupi, kekalkan keseimbangan yang baik dalam
pekerjaan dan aktiviti sosial, beribadah berdasarkan kepercayaan masing-masing,
elak merokok, minum alkohol serta penyalahgunaan dadah, menjalani pemeriksaan
saringan kesihatan untuk mengesan lebih awal ancaman kesihatan, utamakan
keselamatan diri, berusaha
meningkatkan diri secara berterusan, berfikiran yang optimistik dan positif
dalam kehidupan harian serta amalan yang aktif dalam persekitaran yang sihat.
Untuk mencapai dan
mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan seorang individu, terdapat tiga sifat
tanggungjawab dalam peribadi perlu dititikberatkan iaitu mengambil tindakan
mengekalkan kesihatan yang optimum, mengambil berat terhadap terhadap kesihatan
dan kebajikan orang lain serta kesedaran terhadap kesihatan dan membuat
keputusan mengenai kesihatan.
Secara
menyeluruh, pengamalan gaya kehidupan yang sihat dan sejahtera memberi enam manfaat
yang komprehensif seperti peningkatan kecekapan kardiovaskular atau jantung dan
saluran darah, peningkatan tonus, kekuatan, fleksibiliti dan ketahanan otot,
peningkatan kawalan kendiri, kecekapan kendiri dan harga diri, peningkatan
pengurusan tekanan dan pandangan dalam kehidupan, peningkatan hubungan interpersonal
serta penurunan kes kematian dan morbiditi akibat penyakit dan lain-lain.
Kepentingan berdasarkan enam manfaat yang
komprehensif dalam amalan hidup sihat dan sejahtera iaitu kepentingan dalam
pencegahan penyakit, kepentingan dalam keupayaan anggota badan bergerak dan
bertindak untuk menjalankan aktiviti harian, kepentingan dalam keyakinan diri
dan berperasaan baik, kepentingan dalam menghadapi cabaran dan rintangan dalam
kehidupan, kepentingan dalam perhubungan yang sihat dan kepentingan dalam penjagaan
pemakanan dan diet.
Secara
ringkasnya, kesihatan merupakan keadaan kehidupan yang sihat sejahtera
berdasarkan keupayaan seseorang individu melaksanakan aktiviti harian
mereka. Sebaliknya kesejahteraan pula
merupakan proses aktif seseorang apabila menyedari tahap peribadi dan membuat pilihan secara
sedar untuk memperolehi lebih kebebasan daripada kekangan dalam mencapai kepuasan
untuk berjaya.
2.0 ENAM FAEDAH
KOMPREHENSIF HASIL DARIPADA AMALAN GAYA HIDUP SIHAT DAN SEJAHTERA
2.1 Peningkatan Kecekapan Kardiovaskular atau Jantung dan Saluran
Darah
Dalam tubuh kita, jantung memainkan peranan
yang penting. Dimana jantung berfungsi
mengepam darah untuk membolehkan oksigen sampai ke badan. Apabila sistem kardiovaskular atau sistem
jantung adalah lebih baik, fungsi jantung akan berkekalan baik dan dapat membantu
dalam mencegah berlakunya penyakit kardiovaskular.
Contohnya beriadah atau bersenam seperti berlari,
bersukan, berjalan dan aerobik merupakan amalan gaya hidup sihat dan
sejahtera. Apabila beriadah atau
bersenam badan akan mengeluarkan peluh.
Maka itu, toksin dalam badan juga akan turut keluar melalui peluh. Justeru itu, bagi memastikan tubuh badan
menjadi cergas dan dapat membantu dalam sistem peredaran darah, senaman
berjadual secara teratur sangatlah diperlukan.
Perlu diingatkan saluran darah yang tersekat boleh mengakibatkan strok.
2.2 Peningkatan Tonus, kekuatan, Fleksibiliti dan Ketahanan Otot
Amalan hidup yang
sihat dan sejahtera dapat memberi ketahanan otot yang baik serta keupayaan
badan bergerak dalam menjalani aktiviti harian.
Contohnya peningkatan kekuatan dan ketahanan otot yang baik, dapat
menyokong pergerakan aktiviti ekonomi yang dapat memberi kualiti kehidupan yang
baik. Kita boleh lihat juga, individu
yang sihat dari segi fizikal mempunyai kehidupan yang baik dan dapat menikmati
fleksibilti serta kekuatan dalam menangani tekanan dan kepenatan. Oleh itu, dalam menjalani kehidupan harian
pergerakan badan yang tangkas dan kuat memerlukan tulang dan sendi yang baik.
2.3 Peningkatan Kawalan Kendiri, Kecekapan Kendiri dan Harga Diri
Seseorang individu yang mempunyai kawalan
diri yang baik terhadap kesihatan mempunyai harga diri yang lebih tinggi serta
sentiasa berasa gembira dan mesra.
Contohnya ditempat kerja. Seorang
pekerja yang mengamal hidup sihat dan sejahtera, sentiasa berfikiran baik dan
berkeyakinan diri seterusnya memberi impak pada persekitaran. Konsep kendiri dan harga diri merupakan
sebahagian daripada kesihatan emosi.
2.4 Peningkatan Pengurusan Tekanan dan Pandangan dalam kehidupan
Seterusnya, amalan gaya hidup sihat juga dapat meningkatkan pengurusan tekanan dan
pandangan dalam kehidupan harian. Semua orang mengalami stress atau tekanan. Pelbagai punca yang
boleh menyebabkan stress, antaranya masalah keluarga, kerja, kewangan,dan
sebagainya. Tekanan atau stress yang
berpanjangan boleh menimbulkan rasa marah. Oleh itu, atasi masalah ini dengan
mengawal tekanan dan kemarahan. Beberapa
cara untuk mengurangkan marah berfikir secara positif, belajar bertenang,
wujudkan hobi, luangkan masa untuk keluarga, kerja dan beriadah, rehat dan
tidur yang cukup, cari teman untuk berkongsi atau meluahkan masalah.
Justeru itu, berpandangan
positif yang tinggi dapat membantu menangani sebarang masalah atau tekanan
dengan mudahnya dan mampu mengubah persepsi yang memberi tekanan yang tidak
diperlukan. Mereka berpotensi untuk
pulih dengan cepat dan mampu berfikir dengan lebih baik apabila berhadapan
dengan tekanan, dan mempunyai keyakinan diri serta bersedia berhadapan dengan
cabaran dan rintangan yang merupakan satu peluang dan pengalaman untuk
perkembangan diri.
Sebagai contohnya, amalan berehat dan tidur
dengan kadar yang mencukupi dapat mengurangkan tekanan dan menenangkan tubuh
badan serta minda. Dengan bersikap lebih
prihatin terhadap masa rehat dan masa tidur proses metabolisme juga dapat berjalan
dengan lebih lancar. Berikutan dengan
itu, pemikiran positif mampu memberi jalan penyelesaian bagi permasalahan yang
serius tanpa menghadapi tekanan yang berlebihan. Ini adalah kerana tekanan yang
kita hadapi kadang-kala boleh mengakibatkan kepada masalah mental ataupun
masalah sosial.
2.5 Peningkatan Hubungan Interpersonal
Hubungan Interpersonal turut meningkat apabila gaya hidup sihat dan
sejahtera diamalkan. Haruslah bersikap
terbuka dan berfikiran positif agar sesuatu perhubungan berkembang dengan
baiknya. Sikap terbuka memainkan peranan
yang sangat besar pengaruhnya dalam hubungan interpersonal. Justeru itu, hubungan tidak akan berkembang sekiranya
kedua-dua orang atau lebih tidak saling bersikap terbuka di antara satu sama
lain. Contohnya dalam sebuah hubungan
persahabatan yang saling mempercayai dan saling terbuka. Mereka tidak segan untuk menceritakan masalah
masing-masing yang pernah dialami, walaupun bersifat peribadi kerana saling mempercayai. Mereka tidak segan untuk mengatakan apa yang
tidak disukai secara terbuka. Ini semua bertujuan
agar hubungan mereka dapat berjalan dengan baik.
Untuk meningkatkan
hubungan interpersonal haruslah
berani untuk berkomunikasi dengan individu lain yang berbeza dari kita seperti
umur yang berbeza, status yang berbeza atau bangsa yang berbeza. Malah bersikap sosial dan berkomunikasi dapat
membantu mewujudkan suasana positif dan menyumbang kepada kesejahteraan sosial.
Pertukaran pendapat juga menjadikan
perhubungan itu lebih terbuka dan ia juga menjadikan kita lebih berpengetahuan. Contohnya jika
seseorang itu yakin akan kemampuannya dan jika ia adalah seseorang yang tidak
merasa rendah serta ia menyedari bahawa ia setaraf dengan orang lain, maka
seseorang individu itu tentu akan lebih mudah melakukan perhubungan dengan
orang lain.
2.6 Penurunan Kes Kematian dan Morbiditi Akibat Penyakit
Tahap kecergasan fizikal adalah baik apabila
seseorang individu mengamalkan gaya hidup sihat dan sejahtera. Ini kerana sistem imun berfungsi dengan baik. Justeru itu, sistem imun yang baik dapat
melindungi badan daripada jangkitan penyakit.
Contohnya apabila di kalangan masyarakat prihatin terhadap masa rehat
dan masa tidur yang mencukupi setiap hari, tabiat pemakanan yang baik dan
kurangkan tahap tekanan serta bersenam mengikut jadual, ianya akan memberi
fungsi badan yang optimum terhadap serangan penyakit. Maka itu, sistem imun yang baik dapat
melindungi tubuh daripada berlakunya kematian awal dan menggalakkan kesembuhan
dengan cepat terhadap penyakit.
Sebaliknya apabila di kalangan masyarakat
mengabaikan masa rehat dan masa tidur mereka.
Contohnya kekurangan tidur dan kualiti tidur yang tidak baik setiap
malam, ini boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan seperti melemahkan
sistem ketahanan badan, masalah kulit, lemah daya ingatan, kurang tumpuan dan
tekanan darah tinggi. Bagi seseorang
individu untuk mendapatkan tidur yang cukup, tempoh tidur adalah diantara enam
hingga lapan jam. Dalam tempoh masa
tidur ini, tubuh kita akan membina sel-sel baru dan proses metabolisme dapat
dijalankan dengan lancar. Apabila sistem
ketahanan badan kurang, ini boleh menyebabkan penyakit seterusnya
berkemungkinan boleh menyebabkan kematian.
3.0 KEPENTINGAN ENAM
FAEDAH KOMPREHENSIF GAYA HIDUP SIHAT DAN SEJAHTERA TERHADAP INDIVIDU, KELUARGA
DAN MASYARAKAT.
3.1 Kepentingan
dalam pencegahan penyakit
Kita boleh lihat, faedah peningkatan
kecekapan kardiovaskular dan saluran darah telah memberi kepentingan dalam
pencegahan penyakit terhadap individu, keluarga dan masyarakat. Sebenarnya pencegahan penyakit merupakan cara
untuk menggalakkan amalan hidup sihat dan sejahtera. Dimana amalan gaya hidup yang sihat dapat
mengurangkan risiko kita daripada terdedah kepada penyakit seperti penyakit
kardiovaskular yang semakin mudah menyerang pada hari ini dan boleh menjadi
pembunuh utama.
Sebagai langkah pencegahan penyakit,
pentingnya perubahan gaya hidup sihat dan sejahtera yang merangkumi cara
pemakanan yang sihat, memastikan persekitaran tempat tinggal adalah bersih,
melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, melakukan riadah, mengatasi
stress, tidak merokok dan memastikan mendapat rehat yang mencukupi. Gaya hidup sihat dan sejahtera telah banyak
menyumbang dalam meningkatkan taraf kesihatan.
Dengan itu, mengubah suai gaya hidup dan mengambil peranan yang lebih
aktif untuk mencegah penyakit telah menjadi dorongan bagi menjalani gaya hidup
sihat..
Kepentingan dalam pencegahan penyakit telah
memberi kebaikan dalam kehidupan harian iaitu dari segi amalan kesihatan dan
kesejahteraan. Kesihatan merupakan
sesuatu yang amat bernilai, ianya boleh membantu menyelamatkan kehidupan dan
nyawa seseorang. Amalan kehidupan yang
sihat dapat mengurangkan risiko daripada terdedah kepada penyakit yang semakin
mudah menyerang pada masa ini. Contohnya
berhenti merokok merupakan langkah mencegah penyakit. Tabiat merokok boleh memberi risiko pada seseorang untuk mendapat penyakit
paru-paru, jantung dan lebih 40 jenis penyakit yang boleh membawa maut. Ini adalah kerana terdapat 4000 jenis bahan
kimia yang berbahaya di dalam asap rokok.
3.2 Kepentingan
dalam kecergasan fizikal
Sememangnya kekuatan dan ketahanan otot
bergantung pada kecergasan fizikal yang baik.
Aktiviti senaman amat penting untuk kecergasan
fizikal. Semasa bersenam sebahagian besar organ dalam badan dan otot seseorang
bergerak aktif dan menjadi kuat. Maka itu, otot yang baik penting dalam keupayaan
anggota badan bergerak dan bertindak untuk menjalankan aktiviti harian. Ringkasnya, melalui senaman otot menjadi
lebih kuat, badan menjadi sihat dan otak menjadi cerdas. Jika seseorang
individu, sebuah keluarga dan masyarakat mengamalkan aktiviti senaman, tidak
mustahil kekuatan otot dan tahap kesihatan akan meningkat. Oleh itu, kesedaran tentang perlunya aktiviti
senaman hendaklah dipupuk. Contohnya
seorang pekerja yang mempunyai otot kuat, badan yang sihat dan cergas akan
melaksanakan pekerjaannya dengan cerdas dan bertenaga. Sebaliknya pekerja yang lemah lesu akan
mengambil tempoh yang lama melaksanakan sesuatu pekerjaan.
Tahukah apabila mengambil bahagian dalam
program kercergasan, kualiti gaya hidup sihat dan sejahtera akan
meningkatkan. Oleh itu, program senaman
perlu diamalkan untuk mencapai tahap kecergasan fizikal yang baik untuk
menyokong pergerakan badan dalam kehidupan harian. Antara aktiviti yang biasa dijalankan adalah
berenang, berlari, berbasikal, senaman aerobik, berjalan pantas, permainan
kasut roda serta beberapa latihan berat badan akan menghasilkan kecergasan
fizikal.
Tahukah apabila mengambil bahagian dalam
program kercergasan, kualiti gaya hidup sihat dan sejahtera akan meningkatkan. Oleh itu, program senaman perlu diamalkan
untuk mencapai tahap kecergasan fizikal yang baik untuk menyokong pergerakan
badan dalam kehidupan harian. Antara
aktiviti yang biasa dijalankan adalah berenang, berlari, berbasikal, senaman
aerobik, berjalan pantas, permainan kasut roda serta beberapa latihan berat
badan akan menghasilkan kecergasan fizikal.
3.3 Kepentingan
dalam membentuk imej diri
Dalam faedah peningkatan
kawalan kendiri, kecekapan kendiri dan harga diri adalah penting dalam
membentuk imej diri. Dimana membentuk
imej diri mestilah dimulakan dengan cara kita membina rasa menghargai dan
menyayangi diri sendiri, sebelum menyayangi dan menghargai orang lain. Bila kita mencintai apa yang dianugerahi maka
apa jua yang ditemui disekeliling akan menjadi cantik dan menggembirakan. Penampilan imej diri merupakan penentu utama
kepada kelakuan seseorang dengan siapa kita akan berkawan dan pemikiran
kita. Dimana gambaran tentang diri kita
diwarnai oleh pengalaman kita, kejayaan dan kegagalan kita, tanggapan kita
terhadap diri kita dan reaksi orang lain terhadap diri kita. Untuk mengubah pemikiran, perasaan dan
tindakan seseorang individu dalam kehidupan, mestilah bermula dari perubahan
imej kendiri individu tersebut berdasarkan amalan hidup sihat dan
sejahtera.
Contohnya seorang
kerani pentabiran, majikannya telah memberi arahan untuk mengendalikan urusan perakaunan
pejabat. Sehubungan itu, kerani pentadbiran tersebut berasa amat sukar
melaksanakan tugas tersebut kerana tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan
dalam bidang Perakaunan.
Walaubagaimanpun, kerani tersebut melaksanakan juga arahan majikannya
dengan cara belajar berdasarkan sumber rujukan dan merujuk kepada mereka yang
mempunyai pengalaman dan pengetahuan tentang perakaunan sehinggalah selesai. Justeru itu, kerani tersebut telah
menampilkan satu imej diri yang baik kerana dapat menangani masalah itu dengan
mengubah pemikiran yang sihat. Maka itu,
penampilan kerani tersebut menjadi tinggi di kaca mata majikannya.
Maka itu, apabila
gaya hidup sihat dan sejahtera diamalkan cara pemikiran diri dapat bertukar dari
pandangan negatif kepada pandangan yang positif. Ini kerana pemikiran positif akan memperbaiki
imej diri kita. Kita jugalah yang menentukan
kualiti hidup kita berdasarkan imej diri kita sendiri. Maknanya kita menentukan harga diri dan kita
jugalah yang menentukan sebanyak mana kegembiraan yang akan kita perolehi.
3.4 Kepentingan
dalam kemahiran berfikir
Manfaat dari segi
peningkatan pengurusan tekanan dan pandangan dalam kehidupan telah memberi
kepentingan dalam kemahiran berfikir.
Sesungguhnya, berfikir seumpama bercakap kepada diri sendiri. Oleh sebab itu, kita tidak boleh fokus lebih
daripada dua fikiran pada satu-satu masa, maka dengan itu perlulah ditegaskan
sesuatu fikiran positif dapat mengetepikan fikiran yang meresahkan atau tekanan
dengan fikiran yang menenangkan. Maka
itu, apabila kita mahir berfikir mengisi minda dengan fikiran yang positif,
maka lebih selesa kehidupan kita.
Contohnya seorang individu yang menghadapi
tekanan yang menyebabkan dirinya sentiasa resah. Sekiranya individu tersebut tidak tahu
menstabilkan atau kurangkan tekanan, pengambilan atau penyalahgunaan dadah akan
berlaku kerana beranggapan dadah mempunyai fungsi yang agak luas dalam bidang
perubatan. Sebaliknya, sekiranya
individu menggunakan teknik berfikir secara positif ini dapat menyelesaikan
tekanan yang dihadapi secara baik. Bagi
mengurangkan tekanan seperti keresahan, kebimbangan dan ketidakselesaan,
mungkin individu boleh katakan kepada diri sendiri “ Bertenanglah. Janganlah saya
terlalu mengikut emosi atau sensitive.
Tiada apa yang tidak boleh saya lakukan.
Jika saya panik atau terlalu marah pun, perkara yang berlaku tetap akan
berlaku dan sudah pun berlalu. Saya
harus bertenang agar fikiran saya kembali jernih. Dengan cara itu, saya boleh berfikir secara
tenang dan waras”.
Kemarahan merupakan salah satu tindak balas
normal, jika berlarutan dan berpanjangan akan merosakkan diri kita. Terlalu marah boleh menyebabkan fikiran
bercelaru, tidak menentu serta tidak berupaya untuk memfokus kepada apa yang
sedang dilaksanakan. Oleh itu, perasaan
yang marah dapat dikurangkan dengan berfikir secara positif seperti berkata
pada diri “Kemarahan yang keterlaluan
seperti ini tidak baik. Ia hanya
mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan. Biarlah saya memilih reaksi emosi yang lebih
diterima dan tidak merosakkan diri saya”.
Terdapat satu lagi cara kaedah berfikir
yang selalu digunakan bagi mengatasi tekanan adalah dengan mencadangkan sesuatu
ke dalam minda kita setiap malam sebelum tidur.
Ungkapan yang dibuat seharusnya yang dapt mencetus serta mempertahankan
motivasi kita untuk meneruskan kehidupan sehari-hari.
3.5 Kepentingan
kemahiran berkomunikasi
Kemahiran komunikasi biasanya berupaya
bertutur atau menulis dengan jelas dan tepat, berempati emosi orang lain, mahir
menggunakan bahasa bukan lisan (body
language), cekap menjalinkan hubungan mesra dan mempunyai kemahiran
memimpin.
Dalam kemahiran berkomunikasi, seseorang itu
mampu membina hubungan yang baik di dalam situasi-situasi seperti ketika
penyampaian masalah tanpa keraguan atau helah bela diri dan ketika perhubungan
mesra sewaktu pertemuan. Hubungan yang
baik seperti ini hanya dapat dicapai apabila perasaan empati kedua-dua pihak
dapat dirasai. Dengan berperasaan empati
ini, hubungan baik antara kedua pihak dapat terus dijalinkan dan dikekalkan
sepanjang proses komunikasi.
Kemahiran memberi perhatian juga merupakan
kemahiran dalam berkomunikasi. Di dalam
proses komunikasi, memberi perhatian biasanya merujuk kepada komunikasi bukan lisan, walaupun ia juga
diperlukan dalam komunikasi lisan.
Komunikasi bukan lisan boleh dibahagikan kepada beberapa komponen iaitu
gaya badan, gerak isyarat, kontak mata dan juga nada suara.
Kemahiran mendengar juga perlu ada dalam
kemahiran berkomunikasi. Di dalam proses
komunikasi, kita harus mendengar setiap perkataan, demi menggelakkan timbulnya
pandangan prasangka. Pendengar harus
mengembangkan keupayaan mendengar semua perkataan yang telah
dikomunikasikan. Ini bermakna mendengar
perkataan, metafora, nada, suara, tekanan bunyi atau loghat atau dialek
termasuk air muka, gaya gerakan badan, gerak isyarat dan kontak mata. Mendengar dengan telinga ketiga ianya
melibatkan kemahiran berfikir dan membayangkan bagaimana orang lain merasa.
Sehubungan itu, dalam keperibadian diri ciri-ciri
kemahiran komunikasi yang perlu ada adalah seperti kebolehan menjalin hubungan
mesra dengan orang lain, mempunyai kestabilan dan kawalan emosi, bebas daripada
gerak-geri yang ganjil, ambil berat kesejahteraan orang lain, struktur sahsiah
yang fleksibel, sabar, gaya dan suara menarik, bersifat menerima (peka) dan
bersimpati, bijaksana, toleransi, jujur, memahami dan mesra, pengalaman hidup
yang luas, ingin mempelajari teknik-teknik dan konsep baru, sikap sederhana, integriti,
menghormati, ingin tahu dan terbuka. Maka
itu, apabila seseorang itu mahir berkomunikasi komunikasi juga turut berkesan.
3.6 Kepentingan
dalam sistem imun
Sistem imun adalah penting dalam mencegah serangan penyakit seterusnya
mengurangkan kematian awal. Oleh itu, pengambilan
pola makanan seimbang merupakan suatu saranan yang baik bagi memperolehi sistem
imun yang kuat. Makanan yang dimakan hendaklah mengandungi zat yang
secukupnya untuk mencegah seseorang daripada serangan penyakit. Seseorang yang tidak mengambil kira tentang pemakanan seimbang akan
terdedah kepada risiko serangan pelbagai penyakit. Misalnya, pengambilan gula dan kolestrol yang
berlebihan akan memungkinkan seseorang diserang penyakit Diabetis dan
menimbulkan masalah kepada fungsi jantung.
Terdapat beberapa nutrien penting yang membentuk makanan seimbang dan
pengambilannya dalam kuantiti yang sesuai dengan individu bersesuaian dengan
jantina, usia, jadual aktiviti fizikal seharian dan sebagainya. Seterusnya, makanan seimbang haruslah memiliki kandungan
zat yang meliputi karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, serat dan air.
Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada
setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang
penyakit. Keperluan asas seperti
menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga
perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi
mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan
budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci
tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak
diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa
menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan
mungkin boleh membawa padah. Justeru itu,
amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dan
sejahtera dalam kalangan masyarakat.
4.0 KESIMPULAN
Pada
kesimpulannya, amalan gaya hidup sihat dan sejahtera amat penting kepada semua
lapisan masyarakat untuk menikmati tahap kesihatan yang baik serta optimum.
Oleh itu, gaya hidup sihat dan sejahtera hanya boleh
dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan
ciri-ciri manusia sihat. Kita semua
perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
Gaya hidup yang tidak sihat akan
mendatangkan impak yang negatif kepada kesihatan kita. Oleh itu, kesedaran orang ramai tentang
kepentingan kesihatan perlu ditingkatkan.
Dengan ini, kita haruslah mengamalkan gaya hidup yang sihat mulai
sekarang. Amalan gaya hidup sihat dapat
membantu dalam mencegah jangkitan penyakit.
Seseorang yang mengamalkan
gaya hidup yang positif akan sentiasa menjaga kebersihan diri sendiri dan juga
persekitaraannya. Dengan mengutamakan
kebersihan, maka kita dapat menghalang wabak-wabak penyakit dari terus
tersebar. Di samping itu, kita juga
dapat hidup dalam suasana yang sihat dan harmoni. Amalan seperti menjaga kebersihan diri serta
persekitaraan melalui mandi, berpakaian bersih, gotong-royong dan membuang
sampah-sarap dalam tong sampah akan membentuk disiplin dan peribadi seseorang. Langkah-langkah ini penting supaya setiap
individu dapat mendisiplinkan diri, terutama dalam aspek pemakanan dan
penjagaan kebersihan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan